Thursday, February 3, 2011

Permulaan Yang Mendebarkan..



SELANGOR gagal mempertahankan kejuaraan Piala Sultan Ahmad Shah setelah tewas 0-2 kepada Kelantan di Stadium Shah Alam. 
Kekalahan pada aksi sumbangsih 2011 itu meranapkan impian Selangor untuk mencipta kejuaraan hatrik setelah memenanginya pada 2009 dan 2010.
Sebaliknya Kelantan pula berjaya mencipta sejarah menjuarai Piala Sultan Ahmad Shah buat kali pertama.
Namun rekod kejuaraan terbanyak bagi aksi sumbangsih itu masih dipegang Selangor dengan lapan kali sejak ia diperkenalkan pada awal musim 1985.
Pada perlawanan malam tadi yang disaksikan kira-kira 35,000 penyokong kedua-dua pasukan, Kelantan berjaya mendahului seawal minit kelapan.
Pemain bek kanan Selangor, Razman Roslan ketika cuba menyekat larian Nurul Azwan Roya telah menjatuhkan pemain sayap kiri Kelantan itu di dalam kotak penalti.
Norshahrul Idlan Talaha yang ditugaskan mengambil sepakan penalti itu mudah menjaringkan gol pertama Kelantan dengan menewaskan penjaga gol Selangor, Iqbal Suhaimi.
Selangor mendapat peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-31.
Namun tandukan cantik Safee Sali hasil lambungan Safiq Rahim dari sebelah kiri sekadar menggegar palang tatkala penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat sudah tertewas.
Selangor terus mengasak bagi memburu gol penyamaan dan rentak mereka terganggu apabila perlawanan terpaksa dihentikan pada minit ke-62 setelah penyokong Kelantan membaling objek ke dalam padang.
Mereka terus tersentak apabila sepakan percuma kapten Kelantan, Badhri Radzi pada minit ke-73 terus menerjah jaring tanpa mampu diselamatkan Iqbal untuk gol kedua pelawat.
Selangor selepas itu menggandakan asakan untuk merapatkan kedudukan tetapi gagal melakukannya sehingga wisel penamat ditiup.
Anugerah pemain terbaik perlawanan telah diberikan kepada Khairul Fahmi selepas dia berjaya mengelak gawang Kelantan daripada dibolosi sepanjang 90 minit permainan.
Selangor malam tadi turun tanpa Khairul Anuar Baharum yang digantung tiga perlawanan awal musim ini manakala Nasriq Baharom dan Bunyamin Umar masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut.
Untuk perlawanan kedua Liga Super pada Selasa ini, Selangor akan bertemu Perlis di Stadium Utama Negeri, Kangar.
Perlis tewas 1-3 kepada Pahang pada perlawanan pertama di Kuantan malam tadi.
SELANGOR: 22. Iqbal Suhaimi, 3. Razman Roslan, 4. Asraruddin Putra Omar, 16. Yosri Derma Raju, 15. P. Gunalan, 20. Amirulhadi Zainal, 14. Hardi Jaafar (25. Fazilidin Khalid), 17. Amri Yahyah (c) (7. S. Sritharan), 8. Safiq Rahim (24. Fitri Shazwan Raduwan), 23. Fadzli Saari, 10. Safee Sali.
KELANTAN: 19. Khairul Fahmi Che Mat, 15. Daudsu Jamaludin, 6. Farisham Ismail, 17. Rizal Fahmi Rosid, 24. Zairul Fitree Ishak, 10. Solihin Kanasian, 8. Shakir Shaari, 11. Danial Fadzly Abdullah (27. Khairul Izuan Rosli) (5. Khairan Eroza Razali), 16. Badhri Radzi (c), 12. Nurul Azwan Roya, 9. Norshahrul Idlan Talaha.
PENGADIL: Yusof Mat Karim.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...